Akta Hasutan 1948

Saya tertarik dengan ucapan dasar Dato Seri Najib pada Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Selain memperingatkan ahli-ahli UMNO akan sejarah perjuangan UMNO dan juga betapa pentingnya semangat solidariti, beliau juga sangat prihatin dengan keresahan, kerisauan dan juga keinginan orang Melayu secara amnya, dan ahli-ahli UMNO khususnya. Keprihatinan ini terserlah apabila beliau mengumumkan pengekalan Akta Hasutan yang disambut dengan ghairah oleh ahli-ahli UMNO yang berada di dalam dan di luar dewan PWTC.

Saya menyokong keputusan ini. Saya menyokong pengekalan atau pun penggubalan mana-mana rang undang-undang yang menjaga keharmonian negara kita, yang menegakkan perlembagaan kita, yang menentukan perjanjian kontrak sosial yang dimeterai oleh bapa-bapa kita ditepati, dan yang menentukan Persekutuan Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini semua saya sokong.

Tetapi dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan UMNO. Kekuasaan dan kekuatan UMNO datangnya dari sokongan rakyat. Ingatlah, jika rakyat sudah tidak menyokong kita, tiada rang undang-undang di bumi Allah ini yang akan menyelamatkan UMNO dari kehilangan kuasa.