Keikhlasan

Saudara saudari sekelian.

Saya sering mengingatkan bahawa nilai-nilai keagamaan serta adab dan budaya ketimuran kita adalah asas terpenting masyarakat majmuk di Malaysia. Pegangan kita pada nilai-nilai murni akan menentukan sama ada kita maju dan berjaya, ataupun mundur dan lemah. Kita bukan sekadar mengejar pembangunan nyata dan fizikal, tetapi lebih penting, kita mengejar pembangunan insan dan rohaniah.

Pada kali ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang nilai keikhlasan yang sememangnya amat penting.

Segala perbuatan yang kita lakukan mesti diiringi dengan keikhlasan. Jika kita tidak ikhlas lambat laun orang tidak akan menerima apa jua perbuatan dan percakapan kita. Saya berasa sedih kerana kita kurang mempraktikkan nilai ini.

Banyak isu melibatkan keikhlasan. Termasuk juga isu Akta Hasutan 1948 yang hangat dibincangkan masa kini.

Undang-undang sesebuah negara adalah ciptaan manusia dan sebaik mana pun undang-undang tersebut, ia tidak akan seratus peratus sempurna. Tiada gunanya kita menggubal undang-undang yang lebih bagus jika perlaksanaan undang-undang tersebut tidak dilakukan secara adil dan ikhlas. Kalau kita ikhlas undang-undang yang kurang sempurna pun boleh diguna pakai dan boleh membawa manfaat. Kalau kita tidak ikhlas, maka undang-undang yang baik pun boleh membawa mudarat.

Keikhlasan juga perlu dalam apa jua jenis muafakat. Tiada jenis pakatan akan berpanjangan jika kita tidak ikhlas bermuafakat. Tiada makna berganding bahu jika jalan tak seiring. Lambat-laun orang akan tahu juga sama ada ianya berniat untuk membangunkan negara atau semata-mata untuk meraih sokongan.

Kebelakangan ini juga saya lihat ramai individu kerap mengkritik secara lantang dan menuding jari ke arah orang lain di atas sesuatu perbuatan atau kesalahan yang mereka sendiri lakukan di masa lampau. Walaupun kritikan itu berbunyi munasabah tapi ianya tidak diterima umum dan dipandang sinis. Saya tidak bermaksud yang seseorang yang melakukan kesilapan di masa lampau langsung tidak berhak menegur orang lain. Tetapi kalau kita ingin menegur dan mengkritik orang lain pandanglah diri sendiri dan mengakulah akan kesilapan sendiri dahulu. Saya sendiri pun melakukan banyak kesilapan. Kalau kesilapan saya menyinggung atau mengecewakan orang lain, saya meminta maaf. Saya tahu yang ungkapan “buat apa yang saya suruh dan bukan apa yang saya lakukan” (do as I say and not as I do) tidak boleh diterima orang.

Selain dari itu, kita juga tidak patut membidas perbuatan melampau orang luar tetapi membenarkan perangai buruk sesetengah anak buah kita berterusan tanpa teguran. Ini pun tidak ikhlas.

Jadi saya nasihatkan mereka semua ini untuk menerima hakikat yang walau apa yang mereka cakap itu munasabah ia akan dipandang sinis dan tak akan diterima rakyat jika ianya tidak diiringi dengan keikhlasan.

Biarlah keikhlasan mendahului segala perbuatan dan percakapan kita, agar ianya membawa manfaat dan kebaikan.